SEREMBAN – Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan kecewa apabila dilabel pengkhianat oleh Perdana Menteri semalam.
Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sebagai antara pengasas PKR, beliau sedih dengan kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi.
“Memang saya sedih, sebabnya masa beliau (Anwar) susah, saya bantu menggunakan segala apa yang ada termasuk wang ringgit dan tenaga.
“Saya ada menghantar mesej kepada beliau semalam, janganlah sampai memutuskan silaturrahim sebab saya adalah antara pengasas PKR yang masih ada ketika ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika kempen PRN dalam siri Jelajah Perpaduan Madani di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, mengatakan PKR tidak pernah mengajar mana-mana pemimpinnya menjadi pengkhianat kepada parti.
Beliau memberikan contoh dua kerusi iaitu DUN Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi bekas ahli parti itu, Mohamad Rafie dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Mohamad Rafie yang juga penyandang DUN Ampangan berkata, beliau tidak mahu berbalah dengan Presiden PKR itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang layak Sabtu ini.
“Saya boleh move on, tapi jangalah buruk memburukkan orang, sebut orang ini pengkhianat tapi tengoklah pada track record sebab itu saya serahkan kepada pengundi untuk tentukan.
“Selaku individu yang bertanggungjawab melahirkan Parti Keadilan, saya amat menyayangi parti ini…jadi seharusnya kita serahkan kepada warga Ampangan untuk menilai secara adil dan saya akan akur sama ada kalah atau menang,” katanya.
PRN Negeri Sembilan Sabtu ini menyaksikan DUN Ampangan antara kerusi panas selepas Mohamad Rafie bertanding sebagai calon Bebas.
Beliau bakal ditentang Ketua Wanita PKR Cabang Seremban Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Ampangan dimenangi Mohamad Rafie dengan majoriti 1,360 undi menewaskan calon BN dan Pas. – MalaysiaGazette.