Rethinasamy didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya pada 31 Julai lalu.

Tertuduh R. Rethinasamy, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa dengan niat cuba membunuh isterinya berusia 35 tahun sehingga mencederakan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan di sebuah rumah di Ladang Mayfield, Tasek Gelugor di sini, jam 10.30 malam pada 31 Julai lalu.

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda serta dipenjara sehingga 20 tahun jika menyebabkan kecederaan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Wan Amira Ruzaini membantah tawaran ikat jamin kerana tindakan tertuduh membakar isteri adalah kesalahan sangat serius dan kes itu mendapat liputan media.

Artikel berkaitan: 

Kata Wan Amira, mangsa juga dilaporkan masih belum sedarkan diri selain mengalami kecederaan teruk sehingga melecur tahap tiga pada keseluruhan badan.

Hakim kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan tertuduh kemudiannya dihantar ke Penjara Pulau Pinang, Jawi dekat sini.

Kes disebut semula pada 11 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Media sebelum ini melaporkan pekerja ladang kelapa sawit yang bertindak membakar isterinya hingga parah direman selama enam hari bermula pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek berusia 36 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan kita mendapati pergaduhan antara suami isteri itu membabitkan hal rumah tangga dan ketika kejadian suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

“Suspek juga mengaku melarikan diri selepas takut melihat isterinya terbakar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette. – MalaysiaGazette