KOTA BHARU – UMNO Bahagian Ketereh hari ini membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat pihak tertentu merosakkan poster dan bahan kempen calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak.
Laporan dibuat seorang ejen wakil calon, Mohamad Abdullah di Balai Polis Melor kira-kira pukul 1 tengah hari ini selepas mendapati beberapa bendera Barisan Nasional (BN), sepanduk dan pemidang mengandungi gambar calon bertaburan di jalan raya.
Katanya, kejadian itu disedari beliau dan jentera BN DUN Melor pagi tadi ketika melalui Jalan Kota Bharu – Terengganu berdekatan Unit Daerah Mengundi (UDM) Pas Melor.
“Ketika melalui jalan itu, saya terkejut mendapati beberapa bendera parti, sepanduk dan banting calon, Azmi Ishak serta logo BN telah dicantas dan diturunkan serta bertaburan di atas jalan tersebut.
“Kesan daripada perbuatan itu calon telah mengalami kerugian ribuan ringgit untuk kos percetakan dan upah.
“Saya membuat laporan ini supaya polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Azmi ketika mengulas kejadian itu merayu kepada petugas dan jentera semua parti bertanding agar berkempen secara berhemah dan politik matang supaya tidak memecah belahkan masyarakat.
Beliau terkejut dimaklumkan sebilangan besar poster dan bahan kempen jentera DUN Melor telah dikhianati di sepanjang jalan itu.
“Saya telah mengarahkan petugas untuk membuat laporan polis agar perkara ini dapat disiasat dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Dalam tempoh kempen lebih kurang 48 jam lagi, pelbagai provokasi dan perbuatan kianat telah dilakukan secara melampau tidak mematuhi peraturan kempen pilihan raya ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya. – MalaysiaGazette