JELEBU – DAP optimis tidak akan berlaku situasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung selepas keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia juga kerana gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai persefahaman yang jelas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di bawah payung Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin di Negeri Sembilan ini tidak timbul hung assembly (DUN tergantung) sebab kita ada persefahaman bila menang sahaja PRN, antara BN dan PH, semua calon-calon ini akan bersama untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
“Memang kita tahu ada beberapa kerusi DUN agak panas tapi kalau kita gabungkan kekuatan, perkongsian undi PH-BN, tak ada kerusi kita tak boleh menang di semua 36 DUN di Negeri Sembilan.
“Kalau kata ada gelombang Perikatan Nasional (PN) seperti PRU lepas, ia tak sampai ke Negeri Sembilan sebab daripada lapan kerusi Parlimen, UMNO menang lima, kita menang tiga dan itu adalah realitinya,” katanya.
Beliau yang juga calon PH pagi kerusi DUN Chennah berkata demikian pada Program Santai Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini hari ini.
Mengulas mengenai keyakinan sokongan jentera BN terhadap DAP di negeri lain ditandingi pada PRN kali ini, Anthony berkata beliau berpuas hati terhadap kerjasama diberikan antara gabungan dua blok parti terbesar itu.
“Kerjasama jentera (PH-BN) di semua negeri berjalan dengan baik seperti di Selangor juga kita tengok kerusi-kerusi campuran, jentera UMNO turun bantu calon kita.
“Kalau itu dapat diperkukuhkan, kita ada kekuatan dan tiada masalah pertahankan kerusi begitu juga di Pulau Pinang dan Kedah atas semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Pada PRN kali ini, Anthony bertanding bagi penggal ketiga di DUN Chennah bakal berhadapan dengan calon lawan dari Perikatan Nasional (PN) iaitu Rosmadi Arif membabitkan perlawanan dua penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Anthony menang di kerusi DUN Chennah dengan majoriti 1,155 undi dan menewaskan dua pencabar lain. – MalaysiaGazette