Datuk Seri Jalaluddin Alias

JELEBU – Sesiapa sahaja dalam kalangan 18 calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan layak dilantik Menteri Besar (MB) sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (BN) menang 12 Ogos ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tidak timbul terdapat individu tertentu sahaja yang layak dilantik berada di kerusi itu.

“Kita ada 36 calon (PH-BN), dan saya jangka daripada 36 ada lima calon wanita (ditolak) jadi ada 31 calon lelaki dan dari 31, 13 bukan Melayu bermakna ada ada 18 calon Melayu layak dipilih sebagai MB.

“Jadi sesiapa (antara 18 calon) pun boleh (jadi MB)” katanya pada sidang media selepas Program Santai Pagi Calon PH DUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini hari ini.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) DUN Pertang berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya berlaku percaturan meletakkan calon BN DUN Lenggeng, Mohd Asna Amin sebagai Menteri Besar sekiranya PH-BN menang PRN Sabtu ini.

Ditanya adakah spekulasi itu akan menjejaskan sokongan pengundi kepada PH-BN di bawah Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata isu itu tidak timbul.

“Kita dah buat keputusan PH dan BN pastikan sebaik mungkin semua DUN ditandingi akan menang dan selepas itu pemimpin tertinggi kedua-dua parti yang akan putuskan siapa akan jadi Menteri Besar jadi saya fikir tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast