BALING – Rata-rata pengundi muda di sini mengakui teruja untuk melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), menjelang Sabtu ini.
Apatah lagi, golongan muda ini dikatakan akan menjadi penentu dalam memastikan kerajaan negeri yang akan berkuasa sama ada dari Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Bagi seorang pengundi muda yang berusia 18 tahun, Adam Haris Bin Isma-AE, dia mengaku tidak sabar untuk mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu.
Katanya, perasaan gembira timbul kerana ini kali pertama dia akan diberi peluang untuk memilih wakil rakyat.
“Saya berasa gembira untuk pilih pemimpin di mana pemilihan saya lebih utama kepada individu selain sebahagian kriteria kerana parti.
“Saya akan mengundi mengikut pilihan sendiri kerana dari kecil saya sudah terdedah dengan parti politik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, semalam.
Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah, yang mana sejumlah 104,284 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Adam Haris menambah, dia berharap wakil rakyat yang dipilih akan memperjuangkan Islam selain memberi fokus merancakkan ekonomi di Bayu pada masa akan datang.
“Kalau lihat mata wang kita pun jatuh berbanding negara Thailanda namun rakyat di Baling masih bersyukur kos hidup di sini masih murah lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi muda berusia 19 tahun berasa bertuah kerana kali kedua mengundi pada PRN DUN Bayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.
Dia memberitahu, pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bertanggungjawab serta amanah terus menjadi pilihannya untuk diundi pada PRN nanti.
Apatah lagi, kata pekerja kilang itu, dia sudah mempunyai pengalaman mengundi yang pertama kali sebelum ini dalam tempoh lapan bulan lalu.
“Saya akan terus pilih pemimpin jaga yang kebajikan rakyat dan undi saya bukan kerana mengikut kawan-kawan atau nasihat daripada ibu bapa.
“Jadi saya berharap bakal wakil rakyat DUN Bayu yang dipilih nanti akan komited berkhidmat untuk rakyat dan selalu turun padang selepas ini,” katanya sambil mengakui fenomena Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi kesan kepada pengundi muda. – MalaysiaGazette