pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis percaya dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya melibatkan kerugian RM24,800 dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita pada 1 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kesemua yang berusia antara 29 hingga 43 tahun ditahan pukul 2 petang di Plaza Tol Sungai Buloh.

Beliau berkata, polis turut merampas sejumlah barangan daripada mereka antara satu kotak bertulis Versace mengandungi rantai, beg tangan jenama Coach, sebotol minyak wangi jenama Calvin Klein dan sebatang sepana Gaston berwarna hitam.

“Turut dirampas dua surat pajak gadai, sebatang pemutar skru, satu set kunci Allen dan tiga kunci Allen yang diubah suai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penahanan dilakukan susulan polis menerima laporan berkaitan satu kejadian pecah rumah di kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya pukul 12.28 tengah hari, 30 Julai lepas.

Menurut Mohamad Fakhruddin, pengadu di dalam laporannya mengatakan semasa tiba di rumah pada 11.30 pagi pada hari sama mendapati pintu jeriji rumahnya terbuka dan telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM2,700.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah manakala seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine.

“Kesemua suspek direman seminggu bermula 2 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast