Razali (duduk, tengah) bersama penyokongnya semasa berkempen di DUN Kijal , Terengganu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Usaha mencari titik keseimbangan bagi membolehkan penduduk mendapat manfaat daripada pembangunan di Kijal akan diusahakan.

Calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Razali Idris atau dikenali Tok Li berkata, ikhtiar itu akan dibuat sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Contohnya, orang kampung di daerah Kijal yang mempunyai tanah-tanah pertanian dan kawasan milik tanah persendirian boleh melakukan perubahan guna tanah daripada pertanian dan belukar kepada bangunan menempatkan aktiviti ekonomi atau membina projek kediaman.

“Kawasan pesisiran pantai Kijal sehingga ke Teluk Kalong, Tok Li akan mengusahakan dan memperkasakan aktiviti pelancongan dengan menjadikan tarikan nelayan pesisir pantai secara dekat malahan tangkapan nelayan ini boleh juga dijadikan hasil pendapatan lumayan kepada pengunjung menerusi pasar ikan dan hasil laut secara sepusat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Razali, gerai-gerai menjual makanan dan ala-hipster akan diperindahkan sebagai tempat beriadah dan mengopi bersama rakan-rakan dan ahli keluarga terutama hujung minggu selain cuti umum dan cuti persekolahan.

“Pengusaha homestay akan diperkasakan dan dibantu dengan menjadikan Kijal sebagai Gold Coast Pantai Timur ala-Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, Kijal juga mempunyai hutan termasuk bukit bukau dan sungai yang menarik dan boleh dijadikan tumpuan pelancongan aqua-eco serta pelancongan sukan.

“Mungkin akan disemarakkan dengan suasana festival yang menguntungkan orang kampung dengan kerjasama kerajaan negeri yang memberi pulangan lumayan.
Insya-Allah, kepesatan perindustrian yang selari dengan sektor pertanian, perladangan, ternakan dan laut akan memberi manfaat yang sangat besar kepada rakyat Kijal.

“Limpahan ekonomi hiliran ini, TokLi dapat melihat anak-anak muda waima berniaga kopi ala-hipster, gerai nasi dagang, kerepok lekor atau lemang Kijal sekali pun boleh meraih pendapatan tinggi berdasarkan taraf pendapatan rakyat Kijal yang baik,” katanya lagi.

Pada PRN kali ini, Razali akan berentap satu lawan satu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yag juga bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said. – MalaysiaGazette