Ahmad Zahid Hamidi. Foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2023.

SUNGAI PETANI- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran memantau aktiviti pemberian “sedekah politik” oleh parti politik menjelang hari pengundian esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak mustahil gabungan parti politik akan menggunakan pendekatan yang sama terutamanya di saat-saat akhir tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Kegiatan memberi sedekah politik ini adalah rasuah dan dilarang mengikut Akta SPR…(berdasarkan) pengalaman dalam PRU15. Kita harap ketiga-tiga agensi ini (SPRM, SPR dan polis) dapat memantau melalui pendekatan mereka agar di saat akhir ini sedekah-sedekah politik itu tidak dilakukan,” katanya ketika ditemui pada Program Eksplorasi Belia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pimpinan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan langkah-langkah yang demokratik pada PRN enam negeri  dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung esok.

Mengulas mengenai pengumuman Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai calon baharu Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar di Kelantan, Ahmad Zahid berkata alternatif yang terbaik untuk rakyat di negeri itu adalah dengan memilih BN pada hari mengundi esok.

Sebelum ini, PAS mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika mereka berjaya mempertahankan negeri itu esok.

Jawatan Menteri Besar Kelantan disandang Datuk Ahmad Yakob sementara Timbalannya pula Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

— BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast