Ahmad Zahid Hamidi. Foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR- Pengundi yang bakal menunaikan tanggung jawab mereka esok perlu membuat pilihan yang rasional dan bijak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya ini adalah untuk memilih wakil rakyat yang dapat membawa pembangunan lebih baik kepada negeri-negeri.

Katanya, kerajaan stabil dan selaras dengan Kerajaan Perpaduan perlu dibentuk agar nasib rakyat lebih terbela dan kemakmuran ekonomi dapat dirasai semua orang.

“Yang diukur ialah prestasi atau pencapaian ekonomi apabila mentadbir negeri, bukannya bersembunyi menggunakan retorik agama dan etnik untuk menyembunyikan ketidakmampuan mentadbir negeri.

“Bagi pengundi luar juga perlu memikirkan masa depan keluarga dan masyarakat mereka di negeri asal. Mereka sendiri selesa hidup di negeri lain manakala keluarga di kampung janganlah dibiarkan terus serba kekurangan pembangunan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan sekarang berada di landasan yang tepat bagi pembangunan negara yang lebih progresif.

Ini dibuktikan menerusi pelaburan baharu dan pelaburan tambahan daripada syarikat-syarikat besar seperti Tesla, Geely, Infineon dan Saudi Aramco.

Malah, kadar inflasi negara juga merekodkan kadar terendah dalam tempoh enam bulan pertama 2023 kepada 2.4 peratus.

Selain itu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memartabatkan kaum Bumiputera dan orang Islam.

Ini dapat dilihat menerusi peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan yang jauh lebih tinggi berbanding ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di Pulau Pinang pula, peruntukan kerajaan negeri bagi pembangunan Islam berjumlah RM75.08 juta setahun diperuntukan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid.

“Maka dakwaan pembangkang bahawa kononnya Melayu-Islam terabai di bawah Kerajaan Perpaduan adalah propaganda murahan Perikanan Nasional,” katanya lagi.

Tambah Zahid, Kerajaan sedang menyemak gaji 1.6 juta penjawat awam selepas sekian lama tidak disemak dan dalam masa sama mencari mekanisme untuk menampung bayaran bagi penyelarasan gaji pekerja sektor swasta.

“Maknanya, nasib semua pekerja di negara ini diberikan perhatian oleh kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

“Kesemua usaha dan langkah ini memerlukan sokongan dan dukungan seluruh rakyat di negara ini dengan memastikan kestabilan politik bukan sahaja berlaku di persekutuan akan tetapi selaras dengan negeri-negeri lain,” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.