Gambar tular polis melepaskan sembilan das tembakan di Jalan Kepong, Isnin lalu selepas dua penjenayah cuba melarikan diri.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur diberkas setelah dipercayai melarikan diri sehingga memaksa anggota polis melepaskan sembilan das tembakan di Jalan Kepong, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zin berkata, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu ditahan di sekitar kawasan Kajang, semalam.

“Berdasarkan risikan pihak polis, suspek akhirnya berjaya ditahan.

“Semalan mendapati suspek tersenarai dalam senarai individu dikehendaki dan dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam).

Menurutnya, seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kejadian telah dikenal pasti.

“Polis kini sedang menjalankan gerakan untuk memburu seorang lagi rakan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian ini.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada media selepas ini,” katanya.

Isnin lalu, tular video menunjukkan beberapa anggota polis melepaskan tembakan di sekitar Jalan Kepong selepas sebuah kereta enggan berhenti setelah diarah berbuat demikian.

Kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki itu dikejar anggota polis bermula dari Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong di sini.

Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengundurkan kereta sebelum cuba melanggar salah seorang anggota polis.- MalaysiaGazette