SEBERANG PERAI – Polis mengeluarkan amaran keras terhadap para penyokong parti politik bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini agar menghentikan segala aktiviti berkempen selepas pukul 12 tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya akan menguatkuasakan Akta Perhimpunan Aman 2012 detik 12 tengah malam untuk memastikan tiada mana-mana individu atau secara berkumpulan terlibat dalam aktiviti ceramah, berkonvoi kenderaan dengan bendera parti.
Mana-mana individu yang didapati ingkar akan dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap konvoi konvoi ini yang melanggar peraturan lalu lintas, melanggar lampu merah, membawa bendera parti bertanding dam kesalahan-kesalahan lain atas jalan raya.
“Polis tak kisah kalau dia konvoi ikut peraturan, tetapi kalau dia konvoi langgar peraturan dan mengganggu pengguna lain atas jalan raya tindakan tanpa kompromi akan menyusul ke atas mereka,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat polis di Bandar Perda di sini hari ini.
Sementara itu, polis akan melaksanakan penutupan jalan di beberapa kawasan daerah Seberang Perai Tengah sebagai memberi laluan kepada proses penjumlahan undi sempena PRN.
Cheng San berkata, penutupan jalan sempena proses penjumlahan undi dalam daerah Seberang Perai Tengah dilaksanakan pada 12 Ogos ini bermula pukul 5 petang sehingga proses penjumlahan undi selesai dan keputusan diumumkan pada malam tersebut.
Penutupan jalan itu membabitkan enam Pusat Penjumlahan Undi (PPU) yang dibuka di tiga kawasan Parlimen iaitu Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Bukit Mertajam dan Parlimen Batu Kawan.
Daripada jumlah itu, tiga merupakan PPU baharu yang dibuka pertama kali iaitu PPU Politeknik Seberang Perai Tengah untuk DUN N.10 Seberang Jaya, PPU Sekolah Menangah Kebangsaan Bukit Mertajam (DUN N.13 Berapit) dan PPU SMK Jit Sin (DUN N.14 Machang Bubuk).
“Untuk DUN Seberang Jaya (Parlimen Permatang Pauh) PPU diasingkan kali ini disebabkan jumlah pengundi yang ramai.
“Tiga lagi PPU adalah Institut Kemahiran Tinggi Bina Negara (IKTBN) Bukit Mertajam untuk DUN N.11 Permatang Pasir dan N.12 Penanti,” katanya.
Tambah beliau, PPU Politeknik Seberang Perai Tengah tidak terlibat dalam seberang penutupan jalan utama sebaliknya hanya laluan pintu masuk dan pintu keluar politeknik sahaja akan ditutup sehingga proses penjumlahan undi dan keputusan PRN diumumkan.
Di lokasi PPU IKTBN Bukit Mertajam untuk DUN N.11 Permatang Pasir dan DUN N.12 Penanti jalan yang akan ditutup adalah Simpang Tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang sehingga Jalan Berapit berdekatan Taman Bukit Noning.
Untuk mengelak kesulitan awam, jalan alternatif dari Mengkuang ke Bukit Mertajm menggunakan Jalan Mengkuang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jala Tanah Liat dan Jalan Penanti telah dibuka demi kelancaran trafik.
Orang awam dari Berapit ke Mengkuang boleh juga menggunakan Jalan Tanah Liat, Jalan Penanti dan Jalan Bukit Noning sebagai alternatif.
“PPU SMKBM juga menyaksikan Simpang Tiga Jalan Berjaya, Jalan Kampung Baru sehingga Simpang Tiga Jalan Berjaya/Jalan Maju akan ditutup bermula pukul 5 petang.
“Untuk PPU SMK JIt Sin bagi DUN N.14 Machang Bubuk pula, Jalan Binjai berhadapan Sekolah Jit Sin sehingga Jalan Lintang Bayu Mutiara akan ditutup dan jalan alternatif dibuka untuk Jalan Binjai ke Lintang Bayu Mutiara dan sebaliknya menggunakan Lorong Binjai 4.
“Untuk PPU Pejabat Daerah dan Tanah SPT (DUN N.15 Padang Lalang) simpang tiga Jalan Betik/Song Ban Kheng sehingga ke simpang tiga Jalan Betik/Sungai Rambai akan ditutup dan jalan alternatif dibuka dari Song Ban Kheng ke Sungai Rambai dan dari Sungai Rambai ke Song Ban Kheng menggunakan Jalan Seri Bukit,” ujarnya.
Tegasnya lagi, untuk PPU Kolej Vokasional Seberang Perai yang akan terlibat dalam proses penjumlahan undi untuk DUN N.16 Perai, N.17 Bukit Tengah dan N.18 Bukit Tambun, simpang tiga jalan di Jalan Bukit Minyak 2, Jalan Carnation sehingga Jalan Bukit Minyak 2/Lorong Bukit Minyak 3 akan ditutup
Menurutnya, polis membuka jalan alternatif untuk penyuraian trafik iaitu dari Jalan Carnation/Bukit Minyak 2 ke Bukit Tengah menggunakan Lorong Bukit Minyak 13, Lorong Bukit Minyak dan dari Bukit Tengah ke Taman Sentul menggunakan Lorong Bukit Minyak1 dan Lorong Bukit Minyak 13.
Sementara itu katanya, seramai 1222 pegawai dan anggota dari SPT termasuk 311 anggota dari bantuan luar akan terlibat dalam proses hari mengundi Sabtu ini sehingga keputusan PRN diumumkan. – MalaysiaGazette