PENYOKONG Pas memuja partinya sebagai parti Islam, parti pimpinan ulama dan parti yang bersih dari rasuah dan gejala negatif lainnya. Taksubnya mereka kepada Pas sehingga ada yang menyatakan mengundi Pas adalah jalan menuju syurga.
Mengikuti perjalanan parti ini sejak di universiti pada tahun 1980-an lagi, saya dapati parti ini bertoksik yang kini sudah beracun yang membahayakan kestabilan dan kemakmuran negara.
Kenapa begitu?
Pertama, pemimpin dan pengikut parti ini ekstrem. Pemikiran mereka tertutup untuk meraikan perbezaan. Hanya pandangan mereka sahaja yang paling benar. Ada ketikanya, tindak balas mereka kepada sesuatu isu di luar akal waras.
Contohnya di Kelantan, jika rakyat merungut masalah air, pemimpin mereka akan menjawab rakyatnya suka menggali telaga. Rakyat merungut air bersih tidak ada, pemimpinnya kata air Kelantan banyak, boleh diambil di sungai Kelantan, biarpun airnya keruh macam teh tarik. Kata mereka lagi, air keruh bukan najis dan oleh itu sah digunakan untuk ambil wuduk.
Yang rakyat merungut tentang air bersih untuk minum, basuh, dan mandi, bukannya sekadar untuk membasuh punggung dan mengambil wuduk. Tetapi setakat itu sahajalah keupayaan pemimpin Pas ini menjawab.
Begitu juga apabila rakyat merungut tentang jalan sesak. Mereka kata apa masalahnya kerana jalan sesak hanya dua kali setahun sahaja semasa rakyat di Kuala Lumpur balik bercuti raya.
Sedihnya jawapan tersebut. Pemimpinnya enggan mengakui kelemahan.
Jikalau rakyat merungut pembangunan infrastrukturnya kurang, mereka salahkan kerajaan pusat. Mereka dakwa kerajaan pusat sekat royalti. Setiap hari mereka ratibkan wang royalti.
Anehnya, mereka saman Petronas, tetapi kemudiannya menarik balik saman tersebut. Apabila berada dalam kerajaan pusat selama 33 bulan, mereka tidak pula memberi alasan royalti minyak ini sebagai kemunduran Kelantan.
Pemimpin Pas ini tidak ada perancangan. Kelantan kaya balak, kaya REE, dan kaya hasil bumi, tetapi tidak tahu ke mana dibelanjakannya. Mereka gagal menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang dihadapi oleh Kelantan.
Peliknya, dalam gagal mengurus pembangunan negeri, mereka salahkan kerajaan pusat. Dan penyokong tegarnya bersetuju asalkan memilih Pas yang mereka sinonimkan dengan memilih Islam. Pandangan sebegini ekstrem dan beracun.
Kedua, parti ini tunggang agama. Mereka mendakwa “Sokong Pas menuju ke syurga.” Di Bangi, saya tengok ada sepanduk sedemikian.
Ada juga pemimpin mereka mendakwa bermimpi berjumpa Rasullulah. Rasulullah menyampaikan macam-macam pesan dalam pertemuan melalui ‘mimpi’ tersebut. Penyokong mereka percaya dan menganggap pemimpin tersebut keramat. Tidak boleh fikir saya dengan sikap ekstremnya mereka, bukan kepada Islam tetapi kepada parti Pas. Sebab itulah saya kata parti ini beracun.
Ketiga, fatwanya sesat. Pemimpin utama Pas menyatakan Malaysia Madani adalah tersasar jauh daripada makna sebenar yang ditunjukkan Rasullulah. Apa yang tersasarnya tidak diberitahu?
Adakah Malaysia Madani yang mengangkat kasih sayang, kemanusiaan, toleransi, hormat menghormati, keadilan, kesejahteraan itu tersasar dari ajaran Rasulullah atau bagaimana? Pemimpin Pas juga kata mereka yang melawan Pas adalah musuh Allah. Haram memilih orang kafir. Hadir mesyuarat Pas lebih penting dari urusan lain.
Inilah contoh ekstremnya Pas. Sikapnya adalah racun yang mengancam demokrasi, supremasi hukum, kebebasan individu, dan penghormatan serta toleransi untuk kepelbagaian agama dan kepercayaan
Keempat, Pas tunggang bangsa. Mereka seperti tidak menerima realiti kita negara majmuk. Mereka pampangkan sepanduk “Ini Tanah Melayu, Ini tanah kita, Bukan Melayu hanya menumpang. Ngeri saya dengan cara politik Pas ini, mereka meracuni keharmonian kaum dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kuasa atas nama perjuangan agama dan bangsa.
Soal memperjuangkan keadilan sosial tidak ada dalam kamus mereka. Jika ada, mereka guna untuk kepentingan politik semata.
Kelima, Pas mengasuh anak muda dengan budaya politik yang tidak beradab, beretika dan bertentangan dengan ajaran Islam. Fitnah, caci maki, tidak menghormati orang tua adalah cara berpolitik mereka. Lihat sahaja dalam ceramah dan media sosial mereka.
Personaliti utama yang mereka serang ialah PMX, DS Anwar Ibrahim. Berbagai tuduhan, fitnah dan maki hamun untuk membunuh karekter PMX. Cara mereka hilang kewarasan, tetapi ini dipertahankan oleh pemimpin dan pengikutnya.
Usahkan PMX dan rakyat, raja pun mereka permainkan. Tindakan dan cara berpolitik mereka cukup ekstrem dan bertentangan dengan budaya Melayu. Itulah sebabnya saya tegaskan parti ini beracun dan perlu dijauhi.
Keenam, politiknya asyik soal berebut kuasa, hendak tebuk atap. Pemimpin Pas mabuk menyatakan kerajaan tumbang selepas PRN ini. Sifir mereka mudah. MP UMNO dan MP GRS dan GPS dari Sabah dan Sarawak akan lompat parti selepas ini.
Yakinnya mereka sehingga buta untuk melihat bagaimana rapatnya hubungan PMX dan kerajaan pusat dengan semua parti ini. Mereka juga lupa tentang Akta Anti Lompat Parti yang melarang ahli parlimen ini melompat kecuali secara en bloc.
Akibat sikap ekstrem ini, lihat sahajalah tragedi kes Memali pada 9 November 1985 dan tragedi kumpulan Al-Maunah di Bukit Jenalek Sauk pada 2 Julai 2000. Ini adalah contoh kesan ekstremisme terhadap keselamatan negara dan keharmonian sosial.
Kita sokong PMX dan Kerajaan Perpaduan
Parti Pas ini beracun. Maka, nasihat saya kepada pengundi, tolak parti beracun ini untuk kestabilan politik, keharmonian kaum, keyakinan pelabur, dan pembangunan ekonomi.
Ayuh, kita bangunkan Malaysia sejahtera. Kita sokong pemimpin dan parti yang ada visi untuk negara, yang menjaga rakyat. Pemimpin itu adalah DS Anwar Ibrahim dan parti yang mendokonganya dalam kerajaan perpaduan.
Kita bangunkan Malaysia Madani sebagai solusi terbaik untuk kesejahteraan dan kemajuan negeri dan negara kita. Kita tolak Pas kerana parti ini beracun. – MalaysiaGazette
Penulis ialah Ketua Pengarah J-KOM, Prof. Dr. Mohammad Agus Yusoff
*Artikel ini ini tidak mewakili MalaysiaGazette