Calon Perikatan Nasional N.17 Gombak Setia, Hilman Idham menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di SK Taman Seri Gombak 2, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 12 OGOS 2023.

GOMBAK – Calon Perikatan Nasional Muhammad Hilman Idham yakin untuk mempertahan terus kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

Menurutnya, berdasarkan keterujaan yang dipaparkan oleh pengundi terdapat potensi jumlah keluar mengundi melebihi 85 peratus.

“Ada keyakinan untuk bertanding, tentu ada keyakinan untuk menang,” kata beliau ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Taman Gombak Setia 2.

Muhammad Hillan tiba di pusat pengundian kira-lira pukul 8.25 pagi dan diiringi beberapa pembantu.

Beliau amat teruja dengan sambutan yang diberikan dan ditunjukkan oleh rakyat untuk keluar mengundi beramai-ramai.

Beliau yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 mengingatkan pengundi untuk keluar awal berikutan ramalan cuaca menjangkakan hujun petang ini.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai pengurus bahawa hari ini beliau akan memastikan perjalanan proses pengundian berlangsung dengan baik.

“Dan saya juga sempat bertemu dengan beberapa orang pengundi mereka juga memberikan respon yang cukup positif bukan sahaja terhadap sokongan tetapi juga tentang proses pengundian,” kata Muhammad Hillman ringkas.

Kerusi DUN Gombak Setia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Muhammad Hillam dengan calon Barisan Nasional Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

Ini adalah pertembungan kali kedua antara Muhammad Hillman dan Megat Zulkarnain.

Pada PRU-14, Muhammad Hillman yang pada ketika itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan mewakili Parti Keadilan Rakyat menewaskan Megat Zulkarnain yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Muhammad Hilman memperoleh 24,157 undi ; Megat Zulkarnain mendapat 11,113 undi , dan seorang lagi calon dari Pas, Hasbullah Mohd Ridzwan memperoleh 11,758 undi.

Beliau antara wakil rakyat PH, yang menyertai Langkah Sheraton sekali gus untuk bersama-sama Perikatan Nasional.

Muhammad Hilman yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara 27 ahli PKR yang dipecat dan keluar parti apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast