KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan calon Datuk Ahmad Amzad Hashim menawan semula kerusi itu.
Setakat pukul 10 malam Ahmad Amzad mendahului 41,327 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang mendapat 14,566 undi.
Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menang dengan majoriti 27,843.
PRK diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut pada 27 Jun lepas.
Terdahulu UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 3 Januari lalu.
Parlimen Kuala Terengganu melibatkan kawasan DUN Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Buruk dengan 123, 575 pengundi berdaftar dan 44 pusat mengundi dibuka meliputi 222 saluran. – MalaysiaGazette