GEORGE TOWN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang juga calon Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tiba jam 7.55 pagi untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Hu Yew Seah di Jalan Madras di sini, hari ini.
Beliau bermesra dengan pengundi di situ sebelum beratur bagi menunaikan tanggungjawab mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar di saluran dua sekolah tersebut.
Sebaik selesai mengundi Kon Yeow diminta mengulas dakwaan kemungkinan peratusan pengundi merosot disebabkan tiada pengisytiharan cuti khas hari ini, beliau menegaskan keputusan itu hanya akan diketahui selepas selesai waktu mengundi.
“Saya berharap operasi semua pusat pengundian berjalan dengan lancar dan petugas melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memudahkan pengundi-pengundi menunaikan kewajipan mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Bagaimanapun peratusan (merosot atau tidak) mengundi kita hanya akan ketahui pada akhir waktu..maka kita akan menunggu keputusan dan hari ini adalah hari rakyat menentukan masa depan kita,” katanya.
Media terdahulu melaporkan Kon Yeow memaklumkan pihaknya juga tidak bercadang untuk mengisytiharkan cuti umum jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan majoriti pada PRN kali ini.
Kon Yeow mempertahankan kerusi DUN Padang Kota dalam pertandingan dua penjuru dengan wakil Perikatan Nasional (PN), H’ng Khoon Leng.
Turut mengundi di pusat sama, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng serta veteran DAP, Lim Kit Siang. – MalaysiaGazette