SEBERANG PERAI – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah kesal dengan tindakan pihak bertanggung jawab mengedarkan cetakan mirip kertas undi kepada orang ramai, hari ini.
Beliau mendakwa, kertas berkenaan diedarkan di barung dan khemah milik Pakatan Harapan (PH) berhampiran pusat mengundi di DUN berkenaan.
“Saya amat kecewa dan terkilan setelah mendapati ada barung dan khemah milik Pakatan Harapan memiliki atau mengedarkan cetakan mirip kertas undi termasuklah di Pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya.
“Perbuatan kotor ini adalah amat jelas menyalahi Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Tambah Izhar lagi perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai aktiviti berkempen di luar tempoh berkempen yang turut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Satu laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis akan dilakukan nanti untuk tindakan lanjut.
“Diharapkan semua penyokong PN termasuklah ejen mengundi dan mengira agar memberi sepenuh perhatian dalam melawan tindakan yang melanggar undang-undang ini,” katanya lagi.
Izhar juga berkata ejen calonnya telah membuat laporan polis mengenai insiden itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada jam 1.35 tengah hari tadi untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette sedang berusaha mendapatkan respon daripada calon PH Johari Kassim berhubung dakwaan tersebut.
Izhar yang menjadi calon menggantikan legasi bapanya di DUN Seberang Jaya melawan calon PH Johari Kassim kali ini.
Sebelum ini kerusi berkenaan telah dimenangi dan disandang oleh Dr. Afif Bahardin yang bertanding atas tiket PKR sebelum dipecat dan menyertai Bersatu.
Lebih 49,000 pengundi berdaftar yang layak mengundi untuk PRN DUN Seberang Jaya kali ini.-MalaysiaGazette