SHAH ALAM – Dua calon yang bertanding merebut kerusi DUN Batu Tiga, di sini, selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pagi ini.
Calon perpaduan dari Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Danial Al-Rashid tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Perdana pada jam 9.15 pagi.
Manakala pencabarnya, calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Saiyidah Izzati Nur Razak mengundi di SK Seksyen 18, dekat sini, pada jam 10 pagi.
Kedua calon ini akan bertemu tiga penjuru dengan seorang lagi calon, Mohamed Sukri Omar dari Pas – Perikatan Nasional (PN).
Danial dari Parti Amanah Negara (Amanah) adalah anak kepada seniman Allahyarham Harun Salim Bachik.
Hari ini, bermula jam 8 pagi sebanyak 3,190 pusat mengundi di enam negeri dibuka untuk membolehkan 9,674,456 pengundi berdaftar membuang undi memilih calon parti masing-masing.
Enam negeri yang berlaku pilihan raya hari ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, iaitu negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Dewan Rakyat pada 10 Oktober tahun lalu.
Enam negeri ini memilih untuk membubarkan sehingga tempoh penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tamat Julai lalu sebagai tanda protes dengan sikap tergesa-gesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu adakan pilihan raya awal. – MalaysiaGazette