jalaluddin
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas membuang undi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di SMA Haji Mohd Yatim, Gadong, Rembau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2023.

REMBAU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias lebih layak dicalonkan sebagai Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya situasi itu berlaku, masalah akan timbul apabila Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dicalonkan untuk jawatan tersebut bagi penggal kedua.

Menurut beliau, berdasarkan perkiraan matematik, calon Menteri Besar sepatutnya dipilih dari parti yang memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Kalau PH menang kurang daripada UMNO dan nama yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar adalah Aminuddin, tak adillah, ia mesti UMNO.

“Kalau dihantar nama Aminuddin dalam keadaan UMNO menang lebih, bermakna UMNO lemahlah,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Gadong, Rembau, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, Aminuddin akan dicalonkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan jika gabungan PH dan BN memenangi PRN.

PH bertanding di 19 kerusi pada PRN Negeri Sembilan manakala BN mempertaruhkan calon di 17 kerusi.

Walau bagaimanapun, kelmarin, Jalaluddin berkata, sesiapa sahaja dalam kalangan 18 calon Melayu yang mewakili BN dan PH pada PRN Negeri Sembilan layak dilantik sebagai Menteri Besar.

Dalam perkembangan sama, Khairy menjangka agak sukar bagi Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN Negeri Sembilan, namun gabungan politik itu mungkin memenangi beberapa kerusi.

“Bagi enam negeri, ramalan saya kekal 3-3, tetapi nak kena tengok berapa banyak kerusi PN menang, UMNO menang,” jelasnya.

Beliau juga yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan meletak jawatan sekiranya keputusan PRN di enam negeri tidak memihak kepada BN.

“UMNO akan kekal seperti biasa, UMNO buat tak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast