Calon Barisan Nasional N.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bersama ibunya menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 OGOS 2023.

SEKINCHAN – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di kerusi N03 Sungai Panjang pagi ini masih rendah sejak pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong, di sini, dibuka jam 8 pagi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau berharap pengundi yang layak agak keluar lebih awal menunaikan tanggungjawab mereka.

“Alhamdulillah saya mengundi di saluran tiga, proses berjalan dengan lancar dan saya lihat pada pagi ini masih lagi kurang yang keluar mengundi dari pukul 8 pagi hingga 8.30 pagi ini.

“Saya harap semua pengundi keluar mengundi awal, laksana dan tunaikan tanggungjawab kita awal.

“Dengan itu kita boleh melakukan tugas dan tanggungjawab lain pada hari ini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan SK Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Imran yang mengenakan kemeja putih bercorak tiba di SK Sungai Nibong kira-kira jam 8.25 pagi tadi.

Mohd Imran ditemani ibunya, Zainab Mohd Mohdar, 64, yang turut mengundi di pusat mengundi itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima dua borang pencalonan PRN15 bagi kerusi N03 Sungai Panjang pada 29 Julai lalu.

Mohd Imran yang juga penyandang Dewan Negeri Sungai Panjang akan mempertahankan kerusi itu dengan pertandingan satu lawan satu, berhadapan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Razali Shaari.

Ditanya tentang aktiviti Mohd Imran sepanjang proses mengundi pada hari ini, beliau berkata akan melawat kesemua 19 pusat mengundi di dalam kawasan Dewan Negeri Sungai Panjang.

“Saya juga akan mengadakan pertemuan bersama jentera dari pagi hingga lewat petang nanti apabila peti undi dan tempat mengundi ditutup,” katanya. – MalaysiaGazette