keletihan politik
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengundi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di SMA Haji Mohd Yatim, Gadong, Rembau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2023.

REMBAU – Keletihan politik mungkin antara faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi pada enam pilihan raya negeri (PRN) setakat ini agak rendah.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan itu berlaku kerana rakyat berdepan dengan terlalu banyak pilihan raya.

“Pilihan raya negeri ini penting walaupun tak ada kesan kepada kerajaan pusat tetapi ini boleh menentukan kerajaan di peringkat negeri.

“Kerajaan negeri yang banyak menyelesaikan masalah harian rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Gadong, Rembau, hari ini.

Setakat pukul 12 tengahari tadi, Terengganu mencatatkan 42 peratus keluar mengundi diikuti Kedah (41 peratus), Pulau Pinang (38 peratus), Selangor (36 peratus), Negeri Sembilan (35 peratus) dan Kelantan (34 peratus).

Beliau tidak menolak kemungkinan faktor cuaca yang kurang baik menyebabkan masih ramai yang belum keluar mengundi.

“Saya merayu kepada pengundi walaupun bukan calon, saya pun berkecuali, tetapi ini tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” jelasnya.

Selaku pengundi di DUN Kota, Khairy berharap wakil rakyat yang dipilih nanti komited dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

“Kita harap ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang betul-betul rajin, faham tentang kedudukan dan kehidupan pengundi di Kota,” katanya. – MalaysiaGazette