Abdullah Bakar dan Zaleha Md Dawi.

GURUN – Pasangan suami isteri warga emas, Abdullah Bakar dan isterinya, Zaleha Md Dawi menarik perhatian ramai pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di sini hari ini.

Apa tidaknya, pasangan yang masing-masing berusia 72 tahun itu mengundi di Sekolah Kebangsaan Cina Choong Hwa di sini bangun awal pagi semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi buat kali keenam berturut-turut.

“Saya sudah lebih enam kali mengundi ditemani isteri saya, kami sama-sama mengundi di saluran satu. Saya tidak boleh berdiri lama jadi kena naik kerusi roda dan lebih manis apabila kerusi roda saya ditolak isteri untuk ke dewan mengundi,” kata Abdullah yang merupakan pesara kerajaan.

Sebelum ini, kedua-dua mereka turut bersama-sama mengundi di peringkat Parlimen Gurun pada 19 November tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi warga emas, Nordin Ahmad, 79, yang merupakan pengundi di Pulau Pinang pula tidak mahu melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang pengundi di negeri itu.

Beliau yang sudah mengundi sebanyak lapan kali itu berkata, sudah menjadi tugasnya untuk menggunakan kertas undi dalam menentukan wakil rakyat di kawasan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan.

“Ini kali kelapan pak cik mengundi di DUN Permatang Berangan. Pak cik tidak mahu lepaskan peluang yang punya hak untuk undi wakil rakyat.

“Apa yang penting wakil rakyat yang dipilih lepas ini kena buat kerja walaupun kepada pengundi yang tidak memilih beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast