PERATUSAN keluar mengundi bagi proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 hari ini agak perlahan.
Dari mula pusat mengundi dibuka jam 8 pagi hingga 2 petang ini, enam negeri mencatatkan di bawah 50 peratus.
Apakah isyarat yang hendak ditunjukkan oleh pengundi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan?
Adakah trend perlahan yang direkodkan di enam negeri ini seolah ada pakatan sesama pengundi atau ia secara kebetulan?
Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan petang ini seperti dalam nada tertekan, mengarahkan semua ahli dan penyokong PN keluar mengundi.
“Ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi kerana kita tidak seharusnya membiarkan keadaan sekarang berterusan,” tegas beliau selepas mendapati peratusan mengundi sangat rendah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengeluarkan peratusan setiap jam juga meninggalkan tanda tanya di kalangan pemerhati dan penganalisis politik.
Dari jam 9 pagi iaitu sejam sebaik proses mengundi dimulakan, Kedah menunjukkan kehadiran 10 peratus pengundi, diikuti Kelantan (lapan peratus) Terengganu (10 peratus) Pulau Pinang (10 peratus), Selangor (10 peratus) dan Negeri Sembilan (sembilan peratus).
Pada jam 10 pagi pula SPR merekodkan peratusan kehadiran pengundi bagi Kedah 20 peratus, Kelantan (17 peratus), Terengganu (22 peratus), Pulau Pinang (20 peratus), Selangor (19 peratus) dan Negeri Sembilan (18 peratus).
Jam 11 pagi, Kedah 32 peratus, Kelantan (26 peratus), Terengganu (33 peratus), Pulau Pinang (29 peratus), Selangor (28 peratus) dan Negeri Sembilan (27 peratus).
Jam 12 tengah hari, Kedah 41 peratus, Kelantan (34 peratus), Terengganu (42 peratus), Pulau Pinang (38 peratus), Selangor (36 peratus) dan Negeri Sembilan (35 peratus).
PRN hari ini menyaksikan 9,674,456 pengundi bakal mengundi untuk memilih kerajaan negeri.
Bagaimanapun, jika sehingga jam 5 petang ini kurang 70 peratus keluar mengundi, maknanya lebih dua atau tiga juta tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Adakah jumlah yang tidak mengundi ini berada di perantauan atau mereka yang berada di negeri itu, tetapi berasa letih dengan mainan politik yang acap kali mengadakan pilihan raya?
Sehingga berita ini ditulis, tidak sampai satu jam lagi semua pusat mengundi ditutup jam 5 petang.
Namun, peratusan yang diterima sehingga jam 3 petang ini masih ditahap perlahan iaitu Kedah 63 peratus, Kelantan (51 peratus), Terengganu (64 peratus), Pulau Pinang (60 peratus), Selangor (58 peratus) dan Negeri Sembilan (56 peratus).
Memang benar kegusaran yang ditunjukkan oleh pimpinan kerana setiap undi adalah penting dan dikira.
“Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, secara tidak langsung kita telah menidakkan hak kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette