HULU KLANG : Calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Hulu Klang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin gabungan itu mampu membentuk Kerajaan Negeri malam ini.
Bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan pemerhatiannya menerusi sokongan para pengundi sepanjang 14 hari berkempen termasuk Grand Finale malam tadi.
“Insya-Allah, saya optimis bahawa kita akan terus mewakili pengundi di Hulu Kelang, dan insya-Allah kita membentuk Kerajaan Negeri yang baharu di Selangor malam ini.
“Insya-Allah dengan sokongan yang dilihat sejak minggu lalu dan malam tadi, saya yakin kita akan memperoleh majoriti besar di Hulu Kelang dan juga banyak lagi kerusi di Selangor,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin hadir ke Pusat Mengundi di SK Klang Gate kira-kira jam 8.40 pagi untuk mengundi.
Ditanya apa perubahan pertana yang akan dilakukan sekiranya PN diberi mandat, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, gabungan tersebut mahu membangunkan Selangor sebagai super smart state.
“Sebab Selangor sebuah negeri yang maju tetapi ia harus melonjak ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita mahu memastikan Selangor ini kekal sebagai bukan sahaja economic powerhouse untuk Malaysia tetapi juga rantau ini,” jelasnya.
DUN Hulu Kelang menyaksikan pesaingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin yang mewakili PN dengan anak didiknya, Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH).
Lebih 71,000 pengundi layak menjalankan tanggungjawab di DUN ini. – MalaysiaGazett