PADANG TERAP – Pengundi warga emas, Saaodah Hashim, 73, tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab beliau sebagai pengundi.
Walaupun berkerusi roda selepas menjalani pembedahan di pinggang, namun warga emas ini menggagahkan diri untuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Naka.
Ini kali ketujuh beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Kedah.
“Datang naik kerusi roda sebab tidak tahan berdiri lama sebab telah menjalani perbedahan di pinggang.
“Ada la pegawai SPR yang tolong tolak saya ke saluran 1. Saya undi dalam masa 3 minit sahaja tak lama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Naka mula dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jam 8 pagi tadi dan akan ditutup jam 6 petang nanti.
Sekolah ini juga merupakan pusat pengundian bagi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Pengerusi Pakatan Harapan (Ph)-Barisan Nasional (BN) dijangka mengundi jam 9 pagi. – MalaysiaGazette