Calon Pakatan Harapan (PH) Alor Mengkudu, Datuk Mahfuz Omar berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Naka, Kuala Nerang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Berbaki tidak kurang tiga jam lagi untuk proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang berlangsung hari ini, Datuk Mahfuz Omar masih merasakan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akan memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi.

Pengerusi PH Kedah itu optimis gabungan dalam Kerajaan Perpaduan itu mampu untuk menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti tipis.

“Saya masih berkeyakinan setakat semalam sudah 17 kerusi kita ramal menang jadi hanya dua kerusi untuk kita kejar bagi mencapai majoriti mudah.

“Saya harap sentuhan akhir yang kita buat semalam dengan beberapa grand finale di Naka, Hutan Kampung, Gurun dan Sungai Petani yang membabitkan Perdana Menteri akan berikan mesej yang lebih jelas untuk pengundi buat keputusan,” katanya selepas mengundi Kolej Tingkatan Enam Sultan Salahuddin, Hutan Kampung, hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan dapat mempertahankan kerusi DUN Alor Mengkudu, Mahfuz berkata, beliau yakin akan dapat memberikan satu kerusi kepada PH-BN dalam misi membentuk kerajaan negeri pada malam ini.

“Di Alor Mengkudu sokongan amat baik daripada jentera dan ahli UMNO yang bekerja tungkus lumus dan kita berjaya mewujudkan satu kerjasama yang baik.

“Walaupun UMNO-BN tidak bertanding satu kerusi pun dalam Parlimen Alor Setar tapi mereka memberikan komitmen yang sepenuhnya dan saya amat menghargai kawan-kawan UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menasihatkan semua pihak agar menerima keputusan yang telah ditentukan oleh pengundi-pengundi Kedah.

Jelasnya, keamanan negeri Kedah perlu dikekalkan walau pihak mana yang membentuk kerajaan selepas ini.

“Menang kalah tidak perlu kita buat perarakan dan sebagainya, ini yang membuatkan masyarakat kita tidak selesa dan menimbulkan situasi yang tidak baik dari segi sentimen yang boleh mengakibatkan kita tidak dapat kawal perasaan dan berlakunya pergaduhan,” katanya lagi.

Mahfuz berdepan dengan pesaingnya yang sama sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhamad Radhi Mat Din yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua mereka sebelum ini bertembung di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast