PADANG TERAP – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada, Datuk Said Ali Syed Rastan percaya undi anak-anak muda akan kembali kepada BN yang menyertai Kerajaan Perpaduan.
Jelas Said Ali, ini kerana BN adalah sebahagian daripada gabungan kerajaan PH-BN malah slogan ‘Kalih bagi sama’ adalah sangat berketepatan dengan misi untuk kerajaan negeri bergerak seiring dengan kerajaan pusat.
“Hari ini nampaknya pengundi yang turun tu berjalan lancar kebanyakannya pengundi putih itu sudah hampir sampai ada tempat sampai 40 peratus keluar mengundi.
“Cuaca nampak elok dan petang ini akan lebih ramai lagi keluar mengundi, saya percaya anak-anak muda pun positif kali ini dan saya yakin kita akan mendapat undi anak muda,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Said Ali ditemui ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Payung yang merupakan salah satu pusat pengundian di DUN Bukit Lada.
Dalam pada itu, Said Ali berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pengundian hari ini yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Setakat ini nampak semuanya berjalan lancar dan tidak ada apa-apa yang tidak diingini,” katanya.
Di DUN Bukit Lada, Said Ali Syed Rastan dari BN menentang calon Perikatan Nasional (PN), Salim Mahmood Al-Hafiz yang juga penyandang kerusi tersebut.
Pada PRU14, Salim Mahmood memenangi kerusi DUN Bukit Lada dengan majoriti 1,285 undi.
Salim Mahmood mendapat 9,573 undi sementara calon BN, Datuk Ariffin Man 8,288 undi sementara calon PKR yang mewakili PH dengan 6,337 undi. – MalaysiaGazette