Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayshal sampai di pusat penjumlahan undi bagi calon PN di Hotel Concorde Shah Alam

SHAH ALAM – Bahang keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Selangor ke-15 semakin hangat apabila kebanyakan pemimpin gabungan parti mula berkumpul di Hotel Concorde di sini malam ini.

Perikatan Nasional (PN) menempah dewan di hotel berkenaan untuk para pemimpinnya berkumpul menunggu keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor.

Pusat itu yang dibuka pukul 8 malam menyaksikan kehadiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faisal Azumu; Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Kira-kira 500 pimpinan PN pusat dan negeri juga kelihatan hadir iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke bilik yang memaparkan skrin keputusan sehingga kedatangan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setakat ini, berdasarkan info diperoleh, Pakatan Harapan – Barisan Nasional (BN-PH) telah mendahului PN di Selangor namun beberapa kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu berjaya dirampas PN.

Calon PH-BN bagi DUN Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz telah diumumkan sebagai pemenang mengalahkan calon PN.

Difahamkan, kerusi DUN Ijok, Sabak, Morib dan Sungai Burong dimenangi calon PN.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan pukul 11 hingga 12 malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast