Tan Sri Abdul Hadi Awang.

MARANG – Rancangan pertukaran Menteri Besar Kelantan sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran negeri itu, seperti diumumkan semalam, disebabkan Datuk Ahmad Yaakob uzur.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, cadangan pengunduran jawatan itu datang daripada Ahmad Yaakob sendiri atas faktor kesihatan selain mahukan perubahan di Kelantan.

”Kita buat pertukaran Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar. Ada pertukaran, pengumuman itu bergantung pada persetujuan Tuanku kerana pelantikan kerajaan ini melibatkan  Tuanku, melibatkan parti dan melibatkan  rakyat. Rakyat tak tahu lagi.

”Menteri Besar undurkan diri kerana uzur. Sudah beberapa kali Menteri Besar terima rawatan. Kali ini Kita pertimbangkanlah, kesian pada beliau dan masih menjadi wakil rakyat beri sumbangan.

”Kita mahu semangat baharu di Kelantan, ada perubahan di Kelantan sebab itulah Timbalan pun diubah,” katanya ketika ditemui sejurus mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadi menyangkal dakwaan bahawa Pas membuat perubahan kepimpinan utama Kelantan disebabkan beberapa isu yang membelenggu negeri itu.

Pada Khamis lalu, Pas mengumumkan Ahmad dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah akan digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya Pas menang di Kelantan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.