SEMENYIH – Calon Barisan Nasional (BN), Wan Zulaikha Anua tidak mempunyai selera makan dan minum kerana terlalu teruja untuk keluar mengundi.
Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berkata, perasaannya bercampur baur dan jantungnya turut berdebar-debar.
“Saya macam biasa cuma orang lain makan tapi saya tak mahu nak makan, tak mampu nak telan.
“Jadi, tadi saya cuma minum air sahaja, mungkin sebentar lagilah saya sarapan,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rinching, Seksyen 5, di sini, hari ini.
Wan Zulaikha yang ditemani suaminya Shahlan Abd Aziz tiba di pusat pengundian berkenaan pukul 9.20 pagi dan mengundi di saluran empat manakala, suaminya mengundi di saluran tiga.
Katanya, ini merupakan kali pertama kemunculannya di hadapan orang ramai bersama dengan suaminya itu kerana sepanjang tempoh berkempen kedua-dua mereka sibuk dengan urusan masing-masing.
Wan Zulaikha turut menansihatkan pengundi-pengundi di kawasan DUN berkenaan supaya datang awal untuk menunaikan kewajipan mereka kerana dibimbangi keadaan cuaca yang mungkin akan hujan pada sebelah petang.
“Kita bimbang cuaca tak menentu dan sekarang ini cuaca panas adalah lebih elok keluar mengundi sekarang.
“Kalau tengok orang pun tak ramai di tempat saya mengundi ni di Seksyen 5 ni. Jadi, kepada pengundi jangan tunggu sampai petang, sekarang ini dah boleh keluar dah,” ujarnya. – MalaysiaGazette