Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N09 Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim (tengah) mengangkat tangan selepas menewaskan tiga calon lain semasa Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu malam ini. Hafidzah menang 9,691 undi dengan majoriti 202. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA 13

KOTA BHARU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Hafidzah Mustaqim membuat kejutan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama daripada PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dan menyifatkan kemenangan itu memberikan peluang baginya memainkan peranan sebagai “semak dan imbang” kepada kerajaan sedia ada.

Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu menang dengan majoriti tipis 202 undi selepas memperoleh 9,691 undi menewaskan calon PAS Datuk Zamri Ismail yang mendapat 9,489 undi, Tan Boon Kian daripada Parti Rakyat Malaysia (126) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (85 undi).

“Walaupun Kelantan didominasi parti PAS, kemenangan ini akan menjadi pencetus perubahan di negeri ini sekali gus menzahirkan hasrat rakyat khususnya di Kota Lama yang mahukan perubahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu, di sini hari ini.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Galas di Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim yang mewakili Barisan Nasional kekal mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal kedua, melahirkan rasa syukur apabila diberi peluang sekali lagi berkhidmat di kawasan itu.

“Segala amanah ini akan digalas sebaik mungkin dan kita cuba jadikan DUN ini contoh terbaik kepada dua lagi kawasan di bawah Parlimen Gua Musang yang dimenangi PAS,” katanya.

Pada PRN kali ini, gabungan PAS dan Bersatu menang besar apabila memperoleh 43 kerusi DUN daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast