KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sehingga membawa kepada kemenangan di tiga negeri.
Pengerusi PH itu turut menghormati mandat yang diberi rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang telah memihak kepada pembangkang untuk mengekalkan kuasa.
Pada masa sama, Anwar yang juga Presiden PKR mengajak semua rakyat kembali bersilaturahim setelah semua keputusan pilihan raya diketahui.
“Keputusan ini adalah keputusan rakyat. Dalam sistem demokrasi kita harus hormat keputusan rakyat, hormat dalam erti kata bersedia menerima keputusan dengan baik.
“Kalau ada apa-apa permasalahan, perundangan dibuat mengikut perundangan dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Setelah bersungguh-sungguh dan suhunya agak panas ini waktunya rakyat dari semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim menjaga keamanan negara dan tumpukan perhatian mengangkat martabat negara dan bela nasib rakyat. Itu tumpuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat selepas menyaksikan keputusan pilihan raya bagi enam buah negeri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.
Anwar berkata, bagi pihak kerajaan Persekutuan yang terus kekal dan kukuh selepas PRN ini akan terus bertungkus-lumus bekerja dan berkhidmat sesuai dengan hasrat untuk membangun Malaysia dan Ekonomi Madani sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.
“Insyaallah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi, lebih tekun dan keras supaya negara ini akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Ianya juga referundum terkini rakyat yang tak mahukan PMX jadi PM? Ianya juga perlu dihormati!