Perdana Menteri yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan Pilihan Raya di enam negeri yang diterjemahkan rakyat hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat yang diperolehi hari ini menjadi asas kepada kebersamaan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama.

Tambahnya, keputusan itu juga bakal memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Barisan Nasional mengucapkan tahniah buat calon-calon yang telah berjaya.

“Terimalah amanah ini untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

“Buat yang tidak berjaya, teruslah beristiqomah dan jangan pernah berhenti untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat di saat kita berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jentera parti serta sukarelawan yang telah bekerja keras menjayakan kempen dan bertungkus lumus membantu BN.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pengundi yang telah menunaikan amanah masing-masing dalam menyuburkan demokrasi dalam negara.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast