Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (tengah) berucap pada Majlis Pengumuman Kemenangan Parti PAS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Pejabat Penerangan PAS negeri malam ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Selasa (15 Ogos), kata Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad yang memegang jawatan itu sebelum ini berkata ia susulan PAS berjaya membentuk kerajaan negeri, selepas menang 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Insya-Allah kita akan berbincang malam ini (12 Ogos), selepas dapat semua keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita jangka angkat sumpah Menteri Besar Kelantan pada 15 Ogos ini, namun ia bergantung kepada keadaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan PRN di Pejabat Penerangan PAS negeri, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS, dijangka memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu, selepas PRN ini.

Keputusan PRN menyaksikan PAS menang 38 kerusi, manakala rakan gabungannya iaitu Bersatu meraih lima kerusi.

Dua lagi kerusi iaitu DUN Galas dimenangi Barisan Nasional (BN), manakala Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi DUN Kota Lama yang sebelum ini disandang oleh PAS.- BERNAMA

1 Komen

  1. MB baharu perlulah dari kalangan yang sangat bijak @alim, vokal dan berwawasan tinggi atau kurang lebih seperti MB Kedah yang sangat disenangi oleh semua rakyat jelata dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Comments are closed.