Datuk Seri Jalaluddin Alias

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menyerahkan sepenuhnya kepada ketua parti menentukan jawatan Menteri Besar (MB) selepas BN memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) malam tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menang di DUN Pertang berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku untuk mengisi kerusi MB.

“Banyak kemungkinan boleh berlaku (BN isi jawatan Menteri Besar) tetapi itu terserah kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan ketua parti untuk buat keputusan.

“Saya akan jumpa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun malam ini (dan) beliau akan buat beberapa pengumuman tapi di peringkat kepimpinan negeri, kita belum ada bincang apa-apa (jawatan MB) lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meraikan kemenangan 14 calon BN di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Ditanya adakah MB akan dilantik dalam kalangan ADUN BN, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, ketentuan itu di luar bidang kuasanya.

“Itu bukan urusan dan kuasa saya, soal MB itu diserah kepada pimpinan kita dan saya belum jumpa lagi Datuk Seri Aminuddin,” katanya lagi.

Keputusan PRN diumumkan malam tadi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi manakala (BN) menang 14 kerusi membolehkan gabungan PH-BN menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.

BN bagaimanapun tewas di tiga kerusi iaitu DUN Bagan Pinang, Gemas dan Serting yang dikatakan berpunca daripada tidak mendapat undi tentera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast