cuti istimewa
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diiringi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar bersama calon-calon yang menang pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) bagi Negeri Sembilan di Klana Resort Hotel, Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2023.

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan 14 Ogos sebagai cuti istimewa bagi negeri ini.

Beliau membuat pengumuman tersebut ketika berucap pada majlis meraikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini, awal pagi ini.

“Saya harap kita berehat sehari dua, selepas itu buat kerja bagi pastikan kita bantu rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

PH dan BN diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan setelah memenangi 31 daripada 36 kerusi yang ditandingi.

Daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi dan BN pula beroleh 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) merampas lima kerusi.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan menyifatkan kekalahan di lima kerusi iaitu Bagan Pinang, Paroi, Labu, Gemas dan Serting sebagai di luar jangkaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, post-mortem akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kekalahan di tiga kerusi yang sebelum ini disandang BN dan dua kerusi yang dahulunya milik PH.

Berhubung calon Menteri Besar, Aminuddin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat memberitahu, perkara itu belum dibincangkan setakat ini namun keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau menyandang semula jawatan tersebut masih belum berubah.

“Saya rasa tiada masalah, saya tadi pun menghubungi beliau,” jelasnya.

Sementara itu, Anthony yakin kerjasama antara PH dan BN akan membentuk Kerajaan Perpaduan yang kuat sekali gus mewujudkan kestabilan politik di Negeri Sembilan.

“Terdapat ramai tokoh yang berpengalaman dapat berkhidmat bersama bagi menyumbang tenaga ke arah kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau yang memenangi kerusi DUN Chennah menambah, penerimaan pengundi Melayu terhadap DAP kini adalah lebih tinggi berbanding pilihan raya sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast