ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) menepati ramalan apabila beriaya memenangi sebanyak 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 kerusi bertanding di Kedah.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor meramalkan PN akan memenangi 33 kerusi DUN dalam PRN kali ini berdasarkan sokongan kuat yang tunjuk sepanjang tempoh berkempen.
Malah Muhammad Sanusi menang bergaya dengan sebanyak 21,823 undi di DUN Jeneri meninggalkan calon Barisan Nasional (BN) jauh di belakang selepas Datuk Muhamad Khizri hanya mampu meraih sebanyak 5,773 undi.
PN Kedah hanya kehilangan tiga kerusi di Kota Darul Aman (PH-DAP), Bakar Arang (PH-PKR), dan juga Sidam (PH-PKR).
BN pula menerima tamparan hebat selepas kesemua 15 kerusi yang dipertandingkan parti itu di Kedah tewas termasuk pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN) selepas kecundangan di tangan Radzi Md Amin (PN) dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 14,397 undi.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut tewas kepada calon PN di Alor Mengkudu, Radhi Mat Din yang juga merupakan bekas bintang bola sepak negara.
Radhi menang dengan keseluruhan undi sebanyak 18,936 manakala Mahfuz hanya meraih 8,832 undi.
Mahfuz dari Parti Amanah Negara tewas di sembilan kerusi yang mereka bertanding di negeri.
Kedah memiliki 36 kerusi dengan kedudukan sebelum pembubaran DUN Kedah menyaksikan PN menduduki 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6); PH memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); BN memenangi dua kerusi (UMNO-2) dan Pejuang (2).
Dua lagi DUN kosong apabila wakil rakyat Gurun daripada PKR iaitu Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu apablia dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat manakala ADUN Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu. – MalaysiaGazette