Pak Lah Reezal Merican colour blind DUN Bertam ADUN Barisan Nasional UMNO Kepala Batas
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican calon DUN N02 Bertam

KEPALA BATAS – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican lega kerana berjaya menebus kekalahan di Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum lalu dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri hari ini.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, gagasan Kerajaan Perpaduan merupakan antara faktor penyumbang kepada kemenangan beliau malam ini.

“Dulu Barisan Nasional (BN) sahaja bantu saya dalam setiap kempen, tetapi sekarang saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) .

“Kedudukan saya kini lebih ‘representative’ kerana saya mendapat dokongan orang Melayu, Cina dan India pada kali ini.

“Saya berasa sangat puas dan merasakan ini kemenangan yang sangat bermakna dalam keadaan senario politik sekarang,” katanya kepada pemberita selepas diisytiharkan menang sebagai ADUN Bertam malam tadi di Dewan Milenium di sini.

Tambah beliau, kemenangan beliau kali ini bukan hanya untuk Bertam tetapi juga untuk Parlimen Kepala Batas yang pernah beliau berkhidmat selama 10 tahun dari 2013 hingga 2022.

Beliau juga diminta mengulas sama ada akan berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk membincangkan mengenai keanggotaan jawatan dalam kerajaan negeri seperti jawatan Exco.

Reezal bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara kepimpinan tertinggi parti UMNO-BN untuk membincang dan memutuskannnya kemudian.

“Apa yang saya anggap sangat penting adalah, telah letakkan sandaran awal untuk menang DUN Bertam ini dan saya nak kehadiran saya ini sebagai wakil rakyat Bertam membantu dalam pembentukan kerajaan Perpaduan negeri ini.

“Chow mahu cari seorang rakan kongsi yang kuat, kredibel, berwawasan dan bermaruah daripada parti yang memperjuangkan Melayu, dan Alhamdulillah saya dapat menyumbangkan kemenangan di Bertam hari ini.

“Oleh kerana dua kerusi DUN iaitu Penaga dan Pinang Tunggal sekali lagi kekal milik pembangkang maka kehadiran saya sebagai wakil Bertam sangat penting untuk memastikan wadah perjuangan dan pembangunan Bertam bersama kerajaan negeri,” tegasnya.

Dalam PRN DUN Bertam kali ini, Reezal Merican yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan telah berjaya merampas kerusi yang disandang oleh calon Perikatan Nasional Khaliq Mehtab sejak 2018 dengan memperolehi majoriti 2,321 undi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast