Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengetip kad perakam waktu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2023.

ALOR SETAR –  Senarai Exco kerajaan negeri itu akan memuatkan muka lama dan muka baharu, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, pimpinan negeri Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan senarai dan ia akan diumumkan secepat mungkin.

“Barisan Exco yang dilantik akan terjemahkan pelan Kedah Maju 2035.

“Akan ada campuran, kena ada (Exco) yang lama dan baru. Saya akan umumkan secepat yang mungkin.

“Komposisi 10 orang Exco termasuk saya (Menteri Besar) 11 orang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit pagi ini.

Terdahulu, Menteri Besar itu mengetip kad perakam waktu sebelum memasuki pejabat pada jam 11.33 pagi.

Sementara itu, Sanusi mengakui sukar untuk menyenaraikan Exco yang akan bekerja dengan beliau kerana semuanya layak untuk mememgang jawatan tersebut.

Beliau yang diminta mengulas mengenai beberapa kes mahkamah dihadapinya berkata, ia tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri.

Ia hal saya. Tak payah campur,” ujarnya. – MalaysiaGazette