Hazrul Shazreen Abd Yazid

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana kebajikan kesatuan sekerja.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahguna kuasa dengan meluluskan pengeluaran dana kebajikan kesatuan agensi tersebut untuk kegunaan peribadi.

Sumber berkata, suspek lelaki yang merupakan bendahari bagi kesatuan di PBT itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2020, melibatkan lebih 30 transaksi dengan nilai penyelewengan hampir RM200,000.

Beliau berkata, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini di pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, lelaki itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette