Bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hadir ke mahkamah sebgai saksi perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mendakwa bekas Datuk Seri Najib Razak tidak pernah tanya tentang sumber dana berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam empat akaun Ambank miliknya.

Zeti berkata, beliau dan BNM tidak mempunyai pengetahuan tentang jumlah wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Bank dan saya tidak tahu dan tidak ada sebarang pengetahuan tentang dana besar dalam akaun beliau (Najib).

“Saya ingin tegaskan saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang transaksi berlaku dalam akaun Najib. Semua pemegang akaun di dalam sistem kewangan negara adalah dilindungi oleh peruntukan undang-undang membabitkan kerahsian,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika soal jawab pemeriksaan utama dengan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar pada prosiding penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), hari ini.

Dalam pada itu, Zeti memberitahu, BNM mendapati AmBank menyembunyikan maklumat penting mengenai transaksi-transaksi yang membabitkan akaun bekas Perdana Menteri itu.

Dakwanya, bank tersebut juga gagal memaklumkan beberapa transaksi dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

“Hanya berdasarkan Sistem Transaksi Antarabangsa (ITIS) menunjukkan Ambank melaporkan ia dimasukkan dalam akaun bank Najib.

“BNM hanya dimaklumkan ada satu akaun yang ditetapkan sebagai ‘MY’ bagi akaun Sistem Pemantauan Operasi Ringgit (ROMS) namun hanya pada Disember 2014 kita tahu Najib membuka tiga akaun lain pada 2013,” ujarnya. – MalaysiaGazette