SERDANG – Tiga lelaki antara 14 suspek yang ditahan polis dalam siasatan kes kematian kerani kewangan yang mayatnya disumbat dalam guni plastik di Taman Bukit Serdang, di sini, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan hmendapat arahan untuk menuduh suspek ke mahkamah.
“Kita masih sedang memburu seorang lagi suspek dikenali dengan nama Tambi Chai di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Tambah Anbalagan, 10 lagi suspek yang pernah ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan kes berkenaan akan dijadikan saksi pendakwaan.
Menurutnya, 10 suspek itu akan diikat jamin dengan bon di bawah Seksyen 49 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan penemuan mayat di sebuah premis stor buruk di Taman Bukit Serdang.
Hasil bedah siasat mayat mangsa di Hospital Serdang mendedahkan beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan menjadi punca kematian mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan. – MalaysiaGazette