Kesemua pelajar terlibat dalam pergaduhan telah pun direman dua hari sejak semalam.

JOHOR BAHRU – Gara-gara berkomunikasi guna WhatsApp dengan teman wanita orang, seorang remaja lelaki menjadi mangsa pukul sekumpulan pelajar sekolah menengah dalam pergaduhan yang tular di media sosial sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian itu memberitahu, pergaduhan berlaku di Taman Bistari Indah di sini pada 9 Ogos lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 4.09 petang Isnin lalu daripada mangsa yang berusia 15 tahun itu.

Pada masa sama, katanya, pihak polis mengesan video berdurasi 59 saat berkenaan kejadian tersebut yang tular dalam media sosial pada pukul 8.45 malam Isnin lalu.

“Menerusi laporan polis itu, mangsa memberitahu ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian depan dan belakang badan selain di bahagian perut, paha serta lengan kiri dan kanan.

“Video berkenaan memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lelaki di tempat awam.

“Mangsa dipukul enam remaja lelaki warga tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing berusia 14 sehingga 17 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raub berkata, mangsa mengalami lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak paha kanan serta mengalami sakit seluruh badan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi Indah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan enam serbuan di sekitar daerah ini pada antara pukul 5.30 petang sehingga 9.34 malam semalam.

Kesemua pelajar terlibat dalam pergaduhan telah pun direman dua hari sejak semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.- MalaysiaGazette