Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menerima aduan awam satu video tular berhubung beberapa buku yang mendorong kanak-kanak agar terpengaruh dengan LGBT.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, selepas siasatan dilakukan, buku yang dipaparkan oleh Cordova Media itu bukan dipasarkan dalam negara.

Sebaliknya, kata beliau, video yang memaparkan kanak-kanak dengan buku berkenaan diambil di luar negara iaitu Ireland.

“Buat masa ini, meskipun tiada buku berkenaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut di kedai buku tempatan, namun Jakim mengambil serius berkenaan sebarang usaha untuk mempromosi buku itu dalam kalangan masyarakat di negara ini khususnya umat Islam.

“Jakim sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosi LGBT,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hakimah, buku itu boleh dianggap melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam.

Selain itu, katanya, kandungan penerbitan buku yang cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama, undang-undang dan budaya di negara ini.

Justeru, Jakim menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa sentiasa memantau anak-anak serta tidak membeli bahan bacaan berunsur negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Pemantauan dan pencegahan yang konsisten amat penting bagi mengelakkan anak-anak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast