Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

SERDANG – Polis menahan dua lelaki yang disyaki menculik dua wanita yang berhibur bersama mereka di Puchong pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian culik daripada salah seorang rakan mangsa yang bekerja sebagai peniaga pada 11 Ogos lalu.

“Kejadian itu berlaku selepas dua wanita asing masing-masing berusia 32 dan 35 tahun itu keluar dari rumah mereka di Puchong bersama seorang lelaki tempatan untuk menghadiri parti di pusat hiburan pada pukul 6 petang pada 11 Ogos lalu.

“Beberapa jam kemudian, pengadu panik selepas menerima mesej gambar dua rakannya itu yang diikat dan mata ditutup melalui aplikasi WeChat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Anbalagan, suspek kemudian menuntut tebusan sebanyak RM20,000 daripada pengadu sekiranya mahu kedua-dua wanita itu dilepaskan.

Menurutnya, siasatan mendapati pengadu mengenali suspek semasa berada di sebuah pusat hiburan di kawasan Lembah Klang sebelum ini dan suspek didapati pernah mengambil nombor telefon pengadu untuk simpanan.

Katanya, berikutan daripada laporan dan maklumat pihak polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang juga penganggur berusia 31 dan 35 tahun di Klang pada 11 Ogos lalu kerana disyaki terlibat dalam penculikan wanita terbabit.

“Siasatan awal polis mendapati dilakukan mendapati modus operandi suspek adalah meminta wanita warga asing menemaninya berhibur sebelum menculik dan menjadikan mangsa sebagai tebusan dengan mengikat dan menutup mata mangsa sebelum menghubungi rakan mereka menuntut wang tebusan.

“Dalam kes ini, suspek melepaskan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun wang tebusan tidak diperolehi kerana suspek risau dan mahu mengelak pihak polis daripada menghidu kegiatan jenayah penculikan mereka,” ujarnya.

Anbalagan berkata, kedua-dua suspek mengaku pernah beberapa kali melakukan penculikan sebelum ini dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau selain dikehendaki polis di Lembah Klang kerana disyaki melakukan kegiatan sama.

Kata, kedua-dua itu telah direman sehingga esok (Rabu) untuk membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 365 dan 385 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast