Mohd Shulaily.

KUALA LUMPUR – Pemilik serta pengendali akaun Facebook@Sambanjar Perak yang didapati menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditahan polis di Bera, Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki itu didapati telah memuat naik hantaran menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap YDPA.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 15 Ogos hingga 18 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan (D5), JSJ Bukit Aman.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette