KUALA LUMPUR – Malaysia dan Republik Uzbekistan bercadang untuk menjalin bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama berkaitan beras, hortikultur dan baja.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan berkata, kerjasama berkenaan bakal dijalinkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai oleh Uzbekistan Center of Knowledge and Innovation in Agriculture dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Perkara itu dibincangkan di antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Duta Besar Republik Uzbekistan, TYT Ravshan Usmanov beserta delegasinya di Wisma Tani semalam.
Ujar kementerian tersebut, pertemuan berkenaan bagi membincangkan usaha kedua-dua negara memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya bagi menjamin sumber bekalan makanan yang stabil dan berkualiti.
“Agenda perbincangan juga menjurus kepada prospek akses pasaran baharu produk pertanian seperti produk tambah nilai daripada daging ayam dan daging lembu termasuk produk sarang burung,” jelas kementerian itu.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut turut dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta jabatan dan agensi di bawahnya.
Selain itu, Duta Besar Republik Uzbekistan turut menyampaikan jemputan daripada Menteri Pertanian Uzbekistan kepada Mohamad Sabu untuk menghadiri International Conference on Food Security (ICFS) yang dijadualkan pada September depan di Samarkand, Uzbekistan.
ICFS julung- julung kali diadakan dan dianjurkan Kerajaan Uzbekistan dengan kerjasama Food and Agriculture Organisation (FAO).- MalaysiaGazette