KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjamin Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan negara sentiasa kukuh seiring kemajuan global.
Timbalan menterinya, Adly Zahari berkata, keperluan menubuhkan pasukan khas bagi mengendali ancaman siber itu telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Menurut beliau, pihaknya kini terdedah kepada pelbagai ancaman siber ketika negara dalam usaha menjadi peneraju serantau berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) dan rantaian blok.
“Usaha tingkatkan keselamatan siber dan pupuk budaya kesedaran mengenai hal itu adalah menjadi keperluan buat masa ini. Mekanisme pertahanan, integriti terhakis dan akan berlaku pelanggaran data jika teknologi siber kita tidak diperkukuh,” katanya ketika merasmikan Program Siber Siaga 2023 di sini hari ini.
Adly menjelaskan, medan pertempuran pada hari ini juga telah berbeza apabila ia melangkaui darat, laut dan udara dengan kewujudan dunia siber sekali gus menjadi ancaman yang tidak boleh dipandang remeh.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, keperluan melindungi keselamatan siber bukan hanya digalas pihak tentera semata-mata, sebaliknya ia peranan semua.
“Tugas ini adalah tanggungjawab semua termasuk peranan masyarakat dengan tingkatkan pengetahuan dan waspada terhadap dunia siber. Ini kunci bagi memastikan dunia digital akan datang terjamin,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak untuk tidak leka kerana arus teknologi bergerak dengan pantas dan ia memudahkan serangan pihak lawan jika gagal bertindak. – MalaysiaGazette