Datuk Nik Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan beban di bahunya kini telah terlepas apabila tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan negeri Kelantan sebagai timbalan menteri besar.

Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu kerajaan negeri Kelantan yang dibentuk semalam.

“Saya percaya amanah yang telah diletakkan di bahu kawan-kawan adalah tanggungjawab yang berat namun saya yakin kalian akan menjalankannya dengan penuh keikhlasan dan keadilan.

“Beban yang diringankan daripada bahu saya sekarang adalah penyerahan kepada kalian dan saya gembira kerana percaya kalian akan membawa negeri ini ke arah yang lebih cerah.

“Semoga Allah memberkati dan membimbing kita semua dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh integriti dan kejujuran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Amar digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan apabila Pas berjaya menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos lalu.

Pas turut menggugurkan Datuk Ahmad Yaakob sebagai Menteri Besar Kelantan selepas mentadbir negeri itu selama dua penggal.

Semalam, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu menggantikan Ahmad Yaakob.

Beliau mengangkat sumpah untuk jawatan itu di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian. – MalaysiaGazette