SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli melawat lokasi kejadian nahas kapal terbang di Elmina Central Park Seksyen U16 berhampiran Lebuhraya Guthrie di sini hari ini.
Baginda berangkat tiba sekitar pukul 5.30 petang untuk mendapatkan maklumat mengenai nahas tersebut.
Seri Paduka Baginda diberi taklimat oleh pihak berkuasa mengenai nahas tersebut termasuk Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan juga Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.
Al-Sultan Abdullah meluangkan masa sekitar 30 minit meninjau lokasi kejadian sebelum berangkat pulang sekitar pukul 6 petang.
Terdahulu, insiden nahas yang berlaku pukul 2.38 petang tadi mengorbankan seramai 10 orang termasuk seorang individu kenamaan. – MalaysiaGazette